ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Rabu mengumum melepaskan jawatan sebagai menteri besar Kedah.
Ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media di Wisma Darul Aman
di sini, Mukhriz berkata, beliau dimaklumkan telah hilang sokongan
majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah.
"Saya dimaklumkan saya hilang sokongan majoriti oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah semalam," katanya pada sidang media.
Kemelut politik Kedah yang berpanjangan hampir ke penghujung apabila
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka meletak
jawatannya hari ini selepas tidak lagi memiliki sokongan majoriti dalam
Dewan Undangan Negeri (DUN), kata sumber.
Sumber memberitahu The Malaysian Insider Jemaah Pemangku Sultan Kedah
sudah memaklumkan kepada Mukhriz beliau sudah tidak lagi memiliki
sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah dan perlu
melepaskan jawatan yang disandangnya.
"Petang tadi (semalam) ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berpuas hati
yang Mukhriz sudah hilang kepercayaan daripada majoriti Adun dalam
Kedah," kata sumber kepada The Malaysian Insider selepas menghadiri
mesyuarat dengan Adun Barisan Nasional (BN) di Hotel Grand Alora, Alor
Setar.