Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengelak apabila ditanya
mengenai kenaikan pangkat bekas timbalan gabenor Bank Negara Malaysia
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang didakwa bertanggungjawab atas kerugian
RM5.7 bilion dalam dagangan tukaran wang asing pada awal 1990-an.
Dengan
sinis, Mahathir berkata beliau tidak dapat menjawab soalan kerana sudah
"nyanyuk" – seperti yang didakwa seorang MP DAP semalam.
"...saya nyanyuk, jadi kenapa orang masih mahu tanya saya?
"Anda tengoklah, saya nyanyuk jadi saya tidak dapat jawab soalan anda," katanya.
Tender bernilai RM164.8 juta untuk membekalkan benih padi kepada petani
di bawah program yang dikendalikan oleh Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani, didakwa telah dianugerahkan kepada beberapa pembekal
yang gagal memenuhi kriteria tender, demikian menurut dakwaan dalam
sepucuk surat yang dikatakan bocor dari Kementerian Kewangan.
Di samping itu, ia mendakwa pembekal bumiputera yang berkelayakan telah ditolak atas sebab-sebab yang tidak dinyatakan dalam kriteria tender.
Bagaimanapun,
salah seorang pembekal yang dikatakan gagal memenuhi kriteria tender,
dan yang digambarkan sebagai kroni Menteri Pertanian dan Industri Asas
Tani, Datuk Seri Noh Omar, telah mempertahankan keputusan tender
tersebut, manakala seorang lagi pembekal yang dihubungi oleh Malaysiakini enggan mengulas mengenai kontroversi itu.
Surat
yang dikatakan bocor itu, bertarikh 20 Julai 2012, telah didedahkan
oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar di Parlimen Rabu lepas dan
salinannya diedarkan kepada pihak media.
Surat itu ditandatangani
oleh bahagian perolehan kerajaan Kementerian Kewangan dan dialamatkan
kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,
Datuk Mohd Hashim Abdullah.