ALOR SETAR – Di bawah Program Pembangunan Usahawan,
Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) akan
membantu industri kecil dan sederhana (IKS) dan pengusaha-pengusaha
kecil di negeri ini.
Ia secara tidak langsung mampu menjadikan keusahawanan sebagai sumber
pendapatan yang berkembang dan dinaik taraf daripada sedia ada kepada
satu tahap yang lebih baik dan berdaya maju.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abdul
Ghani Ahmad berkata, di bawah program ini juga, usahawan-usahawan yang
menghadapi kesukaran dalam mendapatkan pembiayaan perniagaan daripada
mana-mana institusi kewangan dan memenuhi kriteria dan syarat yang
ditetapkan oleh Jawatankuasa Dana Usahawan PKNK, permohonan mereka akan
dipertimbangkan.
“Di bawah pembiayaan Dana Usahawan PKNK, usahawan-usahawan boleh
memohon pembiayaan untuk membeli aset perniagaan seperti mesin, modal
pusingan, pembangunan produk dan perkhidmatan yang berkaitan dalam
pelbagai bidang perniagaan termasuk Agro Pertanian,” ujarnya.