Tok Imam Masjid Kampung Permatang Pasir 3 Hari Tidur Tak Lena Gara2 Penyanyi No. 1 Negara

TIKAM BATU - Gara-gara kerana penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, imam Masjid Kariah Kampung Permatang Pasir tidak tidur lena sejak tiga hari lalu selepas dimaklumkan bahawa isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa itu akan pulang ke Kampung Permatang Pasir untuk memberikan zakat.

Imam berkenaan, Mahmood Rejab, 72, berkata, sejak dimaklumkan mengenai kepulangan Khalid dan Siti Nurhaliza ke kampung itu untuk menyampaikan zakat kepada golongan asnaf di sini, beliau serta jawatankuasanya bertungkus-lumus membuat persiapan majlis penyampaian zakat terbabit.

Menurutnya, oleh kerana sudah agak lama Khalid dan Siti Nurhaliza tidak mengunjungi kampung itu sejak Ramadan tahun lalu, beliau dan seluruh warga kampung tidak tidur lena menantikan detik kepulangan pasangan berkenaan.

“Namun majlis yang diadakan serba sederhana ini akhirnya selesai dengan sempurna setelah 250 golongan asnaf di kampung ini dan sekitarnya mendapat sumbangan zakat daripada Datuk Khalid dan Datuk Siti (Nurhaliza).

“Selepas ini kami kembali tidak tidur lena kerana tidak sabar menantikan kemeriahan hari raya pertama di kampung ini setelah mereka mengumumkan akan bersembahyang raya di masjid ini dan kemudiannya mengadakan rumah terbuka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Permatang Pasir, Mohd Noor Wahab, 62, berkata, beliau menyambut seruan Khalid untuk mendapatkan kerjasama warga kampung menyumbangkan tenaga dan idea dalam pembangunan kampung yang telah dihulurkannya.

Menurutnya, beliau menggalakkan penduduk kampung dan kariah masjid terbabit untuk sama-sama mengimarahkan tempat ibadat berkenaan setelah ia siap sepenuhnya menjelang Hari Raya Aidiladha nanti.

“Kami semua warga kampung menyambut baik usaha beliau (Khalid) yang begitu pemurah menyumbangkan wang membina semula masjid di sini yang dahulunya rosak teruk dan berharap usaha beliau akan disambut dengan bersama mengimarahkan masjid,” katanya.

1 comments:

  1. Salam Ustaz,

    Kalau lagu tu, cheq pun tidoq tak lena jugak la.., cadangnya Raya tahun ni nak balik Kuala Muda, kena lalu kot Tikam Batu nak say hello kat Siti Nurhaliza... hahahaha....

    Boleh ka.. lagu tu...???? kah..kah..kah...

    Selamat Beramal dan Beribadah...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.